Umum
BNM Perketatkan Pinjaman Peribadi dan Perumahan
Pada 5 Julai 2013, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan tentang beberapa langkah untuk mengelak hutang isi rumah yang berlebihan dan
memperkukuh amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh pemberi
kredit utama. Langkah untuk terus menggalakkan sektor isi rumah yang kukuh dan mampan dan dikuatkuasakan serta merta.
Langkah-langkah tersebut adalah:
- Tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun untuk pembiayaan bagi kegunaan peribadi;
- Tempoh pinjaman maksimum selama 35 tahun untuk pembiayaan bagi pembelian harta kediaman dan bukan kediaman;
- Larangan menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.
Menurut BNM, hutang isi rumah terus meningkat pada kadar yang tinggi, iaitu pada kadar tahunan purata 12% sejak lima tahun yang lalu. Meskipun disokong oleh pendapatan dan keadaan guna tenaga yang positif, namun sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan trend dalam penawaran produk kewangan yang tidak mengambil kira kepentingan pengguna dalam jangka panjang. Ini termasuk tempoh pembiayaan yang dilanjutkan hingga 45 tahun bagi pembiayaan rumah dan 25 tahun bagi pembiayaan peribadi. Walaupun tempoh pembiayaan yang lama ini mengurangkan pembayaran balik bulanan, namun dalam jangka panjang, pembiayaan ini meningkatkan beban hutang isi rumah secara keseluruhan. Amalan seperti ini menggalakkan pengumpulan hutang yang berlebihan oleh isi rumah dan meningkatkan kelemahan sektor ini.
Langkah-langkah ini terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, serta koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, dan Malaysia Building Society Berhad dan AEON Credit Service (M) Berhad.
BNM menambah, langkah-langkah ini bagi memastikan isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk melindungi mereka daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka.
Susulan itu, terdapat pelbagai respon terhadap langkah ini.Antaranya pihak Cuepacs yang berharap agar Bank Negara dapat melihat semula pekeliling itu dan mereka bercadang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu tersebut.
0 comments