Islam Itu Indah
FATWA berkaitan tragedi MH370
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 Mac 2014 telah membincangkan
mengenai Tragedi MH370. Muzakarah telah membuat keputusan seperti
berikut:
-
Setelah mendengar dan meneliti tiga (3) kertas kerja yang telah
disediakan mengenai penentuan hukum syarak dalam tragedi MH370, dan
setelah berbincang serta meneliti semua pandangan ulama’ serta pandangan
ahli-ahli pakar pelbagai bidang sejak daripada tragedi ini berlaku pada
8 Mac 2014 hinggalah kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia
pada 24 Mac 2014 bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 disahkan
berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth Australia,
Muzakarah menegaskan bahawa pensabitan kematian seseorang mempunyai
kesan dan implikasi yang besar dari perspektif syarak. Justeru dalam
Islam terdapat kaedah-kaedah yang telah digariskan bagi menangani
permasalahan mereka yang tidak diketahui samada masih hidup atau sudah
mati, dan dalam Fiqh kes seperti ini dikenali sebagai Mafqud (orang yang hilang).
-
Muzakarah menjelaskan bahawa berdasarkan pandangan as-Syafie “Mafqud
ialah orang yang tidak didengari khabarnya, dan barangkali kemungkinan
besarnya dia telah mati”. (Al-Syafie, Al-Umm, 6:182). Para ulama
memperincikan bahawa mafqud dibahagikan kepada dua bahagian dan hukum
kedua-duanya adalah berbeza. Pertama: Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dianggap telah terkorban. Mafqud bahagian ini ialah orang yang hilang dalam suatu bencana kebinasaan. (Ibn Qudamah, Al-Mughni, 6:389). Kedua: Mafqud yang secara zahir dia masih hidup. Contohnya seseorang yang keluar dari rumahnya untuk berniaga atau melancong tetapi tidak kembali pulang ke rumahnya.
-
Daripada contoh mafqud yang dibawakan oleh Ibn Qudamah, Muzakarah
berpandangan bahawa dalam kes pesawat MH370 yang berakhir dalam lautan
yang amat luas dan dalam, mayat-mayat dan bangkai pesawat menghadapi
kesukaran untuk ditemui, dan pandangan pakar mengatakan bahawa survival
manusia untuk hidup adalah tipis, maka kes ini bolehlah dikategorikan
sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dia dianggap telah terkorban.
-
Muzakarah juga menjelaskan bahawa mengenai kadar tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya, tidak terdapat nas yang jelas
daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh
tertentu secara tetap. Kebanyakan pendapat yang dinukilkan adalah
bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapat-pendapat
tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai
hujah ijmak, kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan
tabi’en. Namun keperluan kepada tempoh pencarian bagi mafqud adalah
disepakati oleh para ulama’.
Muzakarah juga berpendapat bahawa perbezaan yang ketara dari segi uruf dan masa perlu diambilkira dalam penentuan tempoh mafqud ini kerana ia memberi kesan dalam pengsabitan hukum-hakam seterusnya.
-
Dalam hal ini, Muzakarah memutuskan bahawa dalam tragedi MH370 ini, keperluan menetapkan tempoh mafqud adalah terletak kepada pertimbangan ulil amri berdasarkan
kepada ijtihadnya selaras dengan pandangan majoriti ulama, termasuk
mazhab Syafie, mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan satu riwayat mazhab
Hanbali. (Nihayah al-Muhtaj, 6:28; Hasyiyah al-Dusuki, 4:434; Hasyiyah
Ibn Abidin, 3:332; Al-Kasysyaf, 4:391).
Justeru, berasaskan kepada Kaedah Fiqhiyyah iaitu ‘Menghilangkan Kemudaratan’, lima (5) prinsip Maqasid Syar'iyyah
iaitu menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal serta berasaskan
kepada Siyasah Syariyyah dalam menjaga kemaslahahatan keluarga dan
pihak-pihak yang terlibat serta bersesuaian dengan uruf dan waqi’, Muzakarah memutuskan bahawa keadaan mafqud dalam tragedi ini tidak memerlukan kadar tempoh tertentu kerana usaha-usaha pencarian yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun
dalam keadaan lautan yang amat mencabar serta qarinah-qarinah yang
boleh diambilkira sebelum dan selepas pengumuman Kerajaan bahawa pesawat
MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, telah melalui tempoh munasabah bagi mafqud yang boleh diputuskan oleh Ulil Amri.
-
Sehubungan itu berdasarkan semua keterangan dan hujah-hujah yang dinyatakan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa semua penumpang pesawat MH 370 adalah dikategorikan sebagai “Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya telah dianggap terkorban”.
Oleh itu, memandangkan usaha-usaha mencari telah dijalankan dalam tempoh yang munasabah bagi mafqud
dengan penggunaan pelbagai aset dan alat komunikasi berteknologi tinggi
serta kewujudan qarinah-qarinah yang boleh diambilkira, maka Muzakarah
berpendapat bahawa penumpang pesawat MH370 tersebut boleh dianggap
telah terkorban. Walau bagaimanapun pengesahan atau pensabitan kematian
hendaklah diputuskan oleh Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang
sedia ada.
Muzakarah juga berpandangan bahawa memandangkan pihak berkuasa masih terus mencari kesan daripada tragedi tersebut termasuk mayat atau cebisan mayat penumpang yang terkorban, maka Solat Jenazah Ghaib tidak perlu dilaksanakan lagi.
-
Muzakarah juga memutuskan bahawa jika dalam usaha pencarian kesan daripada tragedi tersebut, pihak berkuasa berjaya menemui mayat atau cebisan mayat, maka wajiblah diuruskan mayat tersebut seperti yang ditetapkan oleh Islam.
Oleh kerana penumpang MH370 ini terdiri daripada berbagai agama dan jika tidak dapat dibezakan antara Islam dan bukan Islam, maka untuk menguruskan mayat orang Islam dalam keadaan bercampur ini, hendaklah diuruskan kesemua mayat yang dijumpai tersebut mengikut Islam dan sewaktu Solat Jenazah hendaklah diniatkan hanya untuk orang Islam sahaja.
Jika yang ditemui itu hanya cebisan-cebisan atau sebahagian anggota kecil sahaja, maka hendaklah dikumpulkan semuanya dan diuruskan mengikut Islam dan ketika Solat Jenazah hendaklah diniatkan untuk orang-orang Islam sahaja.
-
Mengenai hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ianya hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.
-
Muzakarah juga berpandangan bahawa dalam menghadapi suasana tragedi ini, pelaksanaan ibadah-ibadah seperti Solat Hajat, bacaan Yasin dan sebagainya bolehlah diteruskan oleh umat Islam.
- Muzakarah juga memutuskan bahawa orang-orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/
0 comments