Apa itu Malaysia's Best ?

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memperkenalkan jenama “Malaysia’s Best” untuk mengatasi masalah anda memilih buah-buahan berkualiti. Ia begitu mudah, cuma pilih buah-buahan yang menggunakan lambang “Malaysia’s Best” ini.

Apakah itu "Malaysia's Best"?
 
“Malaysia’s Best” merupakan program nasional yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya, FAMA. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan buah-buahan tempatan yang berkualiti. Seperti gelarannya, “Malaysia’s Best” ialah buah-buahan tempatan yang diperaku telah melalui proses pemilihan yang teliti daripada peringkat pemilihan biji benih sehinggalah buah-buahan itu dipasarkan. Segala-galanya menepati standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Hanya buah-buahan yang menepati standard ini daripada ladang yang telah diakreditasi menerusi Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) yang layak menggunakan lambang “Malaysia’s Best”.

Kenapa "Malaysia's Best"?
“Malaysia’s Best” diwujudkan bagi melahirkan identiti Malaysia bagi semua hasil pertanian Malaysia khususnya di pasaran antarabangsa.

Selain itu, logo “Malaysia’s Best” juga digunakan sebagai tanda kelulusan daripada pihak berkuasa yang mengiktiraf iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


Piawaian "Malaysia's Best"?
Tanda yang bertulis "Approved by the Ministry of Agriculture" yang terdapat pada bahagian bawah logo "Malaysia's Best" memaparkan profesionalisme dan wawasan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebagai badan pengawal yang memastikan buah-buahan berkualiti tinggi.
Setiap buah yang bertanda "Malaysia's Best" perlu mematuhi spesifikasi piawaian atau gred tertentu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Malaysia's Best" setaraf 'Piawaian Emas'.
Warna emas yang terdapat pada logo menguatkan lagi jaminan kualiti bagi buah-buahan yang dihasilkan dan meningkatkan imej premiumnya.

Kelebihan "Malaysia's Best"?
Logo "Malaysia's Best" juga memberi kelebihan kepada para peniaga. Dengan adanya logo ini mereka tahu bahawa buah-buahan tersebut telah melalui proses piawaian yang dikawal oleh sebuah institusi Kerajaan sebelum dipasarkan. Malah, buah-buahan yang mempunyai logo ini juga mudah diterima oleh pengguna sebagai buah-buahan bermutu tinggi.

Untuk jangka panjang, kita akan mendapati lebih ramai rakyat Malaysia yang akan membeli buah-buahan tempatan kerana faham akan keistimewaan logo ini serta yakin dengannya dan peniaga boleh meletak harga terbaik bagi meningkatkan keuntungan.

You Might Also Like

0 comments

Flickr Images